Friday, August 10, 2007

PANAS BARAN

PANAS BARAN

Ada pendapat mengatakan panas baran adalah lebih teruk daripada nasib malang dan dalam banyak-banyak kelakuan atau sifat manusia yang dikeji dan amat membinasakan adalah panas baran (bad-tempered).

Pasti ada sesuatu yang amat membinasakan mengenai panas baran ini sehingga menyebabkan begitu ramai ahli pemikir yang membuat amaran tertentu mengenainya dan terus berusaha mencari penawar bagi mengubatinya.

Seseorang yang tidak mempunyai sifat pemarah dan sebaliknya mempunyai sifat suka berjenaka dan mempunyai sifat semula jadi yang menyenangkan, sesungguhnya boleh menakluki nasib yang malang ataupun kecelakaan yang bakal menimpa dirinya.

Sifat panas baran adalah sifat semua jadi yang buruk dan akan membinasakan kita. Dengan erti kata lain, panas baran akan menjadikan hidup kita seperti berada di dalam neraka, begitu juga bahangnya juga akan mengenai orang-orang yang berada disekelilingnya.

Apa yang perlu kita sedari adalah panas baran akan menyakiti diri kita lebih daripada menyakiti orang yang kita marahi atau dendami.

Tetapi, kita juga mesti menyedari kemarahan kita juga akan menyakiti orang lain terutama orang yang rapat dengan kita dan orang yang menyayangi diri kita, tetapi apabila kita menyakiti orang lain, kita sudah tentu akan menjadikan mereka musuh kita yang akhirnya akan menaikkan api kemarahan terhadap diri kita sendiri. Api kemarahan akan menyalakan atau menyemarakkan kemarahan yang lain.

Hidup ini terlalu singkat untuk kita membenarkan dendam kesumat ataupun panas baran bertapak dalam hati kita yang semuanya akan menambahkan masalah dan kesulitan yang sedia ada dan sesungguhnya tidak ada sesuatu pun yang boleh kita dapati daripada `menambah bala'.

Oleh yang demikian, eloklah kita mencari jalan bagaimana mencari pencegah dan penawar untuk menurunkan api kemarahan.

PETUA BERKESAN BAGI MENDORONG KE ARAH KEMAAFAN

Kita mesti mengingatkan diri kita bahawa tindakan sedia memaafkan akan memberi lebih manfaat untuk diri sendiri daripda orang yang kita maafkan itu. Kita akan terlepas daripada belenggu perasaan yang berat, terutama bagi pasangan suami isteri.

Adakah kita berasa bahagia atau puas hati setelah bercerai? Adakah keadaan emosi kita lebih teruk akibat perasaan itu? Adakah kita akan terus menghukum pasangan kita terus menerus?Ia sebenarnya sama seperti menghukum diri kita sendiri. Renungkanlah!

Pakar psikologi mengatakan penawar yang paling berkesan untuk meredakan kemarahan ialah melengah-lengahkannya. Caranya, apa kita berada dalam kemarahan, kita kira satu hingga sepuluh sebelum kita buka mulut dan sekiranya kita dalam keadaan terlalu marah, buat kiraan sehingga 100.

Penawar ini telah disokong dengan beberapa ujian dan percubaan yang dijalankan dan telah diperakui keberkesanannya.

Ramai memberi sokongan bahawa teknik `melengah-lengahkan' ini dapat menyejukkan hati seseorang dan seterusnya menyarankan binggalah api kemarahan kita bahawa jangan sekali-kali kita menulis, bertindak dan membuat sebarang keputusan apa pun sehingga api kemarahan kita reda kerana ketika ini kita boleh membuat keputusan mengikut hati dan perasaan dan bukannya berpandukan pemikiran. Sesungguhnya kemarahan bermula daripada kebodohan dan akan berakhir dengan penyesalan yang tidak berkesudahan.

Dalam mengendalikan kemarahan, kita sebenarnya berurusan dengan emosi seperti emosi yang lain, ianya boleh dikawal. Bagi menukar emosi kita, iaitu pre-condition minda kita supaya tidak terlalu menurut perasaan. Seelok-eloknya kita banyak beristighfar.

Orang-orang yang beremosi, lekas marah, panas baran dan tidak sabar adalah mereka yang memiliki `nafsu marah'. Orang ini sentiasa cenderung atau terdorong kepada sifat:

* Bodoh

* Tamak

* Takbur

* Hasad

* Khianat

* Pemarah

Untuk mengatasi sifat panas baran, pemarah dan tiak dapat mengawal perasaan marah, amalkan petua ini:

* Kalau marah pada waktu duduk, bangun dan berjalan perlahan-lahan, pandang ke luar

* Ucap berulang kali 'Innaallaha maas sabirin" (sesungguhnya Tuhan bersama orang-orang yang sabar).

* Apabila perasaan marah datang, minum air sejuk segelas, kemudian buat senaman pernafasan.

* Apabila perasaan marah datang, pandanglah kuku di tangan.

* Redakah dengan mengambil wuduk.

Ada peribahasa yang menyatakan "sesiapa yang beleh menumpaskan `sesaat' rasa marah bererti ia boleh mengelakkan kemurungan sepanjang hari". Pakar Psikiatri juga telah mengesahkan `kemurungan diri' tidak akan berakhir hanya dalam sehari, tetapi mungkin berlarutan hingga seumur hidup.

Oleh yang demikian, prinsip `sekelumit pencegahan' mestilah dipraktikkan pada `kemarahan'. Amatlah elok sekiranya kita dapat menakluki kemarahan, tetapi adalah lebih baik jika kita dapat mencegahnya terus kerana api kemarahan adalah ibarat ribut di lautan.

Walaupun ribut telah reda, tetapi ombaknya masih beralun. Api kemarahan tidak dapat dipadamkan serta merta dengan hanya melenyapkan bibit-bibit kemarahan.

Sesungguhnya kegembiraan dan kedukaan seseorang itu adalah tabiat mental yang mana sebahagian besarnya bergantung kepada baran kita.

Orang tua sentiasa berpesan, sekiranya kita berhadapan dengan orang yang panas baran atau kaki gaduh, biarkan dia `bersendirian'. Jadi, sekiranya anda ingin merasai kesunyian dan tersisih, teruskanlah melayani dan mempamerkan marah dan panas baran anda kerana kejayaan yang serta-merta di dalam arena kesunyian sememangnya terjamin. Tetapi, kejayaan anda hanya terhad kepada mencapai kesunyian semata-mata.

Sebaliknya panas baran akan membuatkan kita tidak akan dialu-alukan dalam dunia perniagaan. Pada pendapat saya, sesiapa yang tidak dapat menguasai barannya sememangnya tidak boleh menjadi seorang usahawan kerana dalam dunia perniagaan kita mesti sentiasa mengawal diri dan mengawal perasaan marah kita kerana pelanggan adalah `raja'.

Persoalannya, apa yang harus kita bayar untuk mempelajari rahsia mencari kegembiraan dan mengelakkan kedukaan. Sebenarnya kita tidak perlu mebayar apa-apa dan ianya bukanlah satu rahsia. Telahpun dijelaskan oleh pakar psikologi dan ahli-ahli pemikir yang terdahulu, bahawa kegembiraan dan kedudukan seseorang itu bergantung pada baran mereka. Akibat panas baran menjadikan seseorang itu sentiasa dalam keadaan sengsara dan sugul.

Menurut fakta psikologi, panas baran yang ditunjukkan oleh seseorang itu adalah tabiat emosi dan ia mestilah dirawat dan dipulihkan sebagai pemulihan tabiat.

Sekiranya kita tinjau mengenai perasaan marah atau panas baran, semuanya itu ditunjukkan oleh diri seseorang ketika di alam kanak-kanak lagi. Sifat itu akan berlarutan hingga ke zaman dewasa. Sebenarnya pada alam kanak-kanak dahulu, panas baran kita digunakan sebagai cara untuk mendapatkan sesuatu, tetapi sebaliknya, ianya terus kekal dan menjadi sebahagian daripada tabiat emosi atau corak tabiat kita hari ini.

Orang yang panas baran mempunyai telinga nipis dan mudah naik radang. Apatah lagi sekiranya ia dirangsangkan oleh sesuatu situasi atau kurang selesa baginya.

Seperti duit syiling, panas baran hanyalah satu permukaan sahaja, manakala di sebelah permukaan lagi ialah good temper dan sesungguhnya keduanya mempunyai peratus yang sama banayak. Jadi, terpulanglah pada diri masing-masing untuk mencorakkan tabiat emosi kita.

Walau apa pun kita harus sedar sesetengah kesakitan dan maslah di dunia ini dapat diatasi dan dihindari sekiranya ramai penduduk dunia ini mempamerkan good temper.

Sekiranya anda sakit, menderita dan cacat ingatlah pesanan ini. Sifat keriangan dapat meringankan segala kesakitan, penderitaan dan boleh meringankan bebanan kecacatan diri kita.

Bagi wanita yang ketika ini sedang dimamah usia, sudah pasti kita memerlukan krim muka yang lebih bagi menyembunyikan kedutan di muka dan menaikkan seri wajah. Tapi, wanita tidak perlu bimbang kerana kini sudah ada jalan penyelesaiannya.

Kajian yang dilakukan telah membuktikan `rasa keriangan, kepuasan, kesyukuran dan ketengan jiwa' dapat mengekalkan keceriaan wajah kita dan melenyapkan `ketuaan kita'. Salah satu penawar yang tidak kurang mujarapnya ialah `senyuman' kerana senyuman akan memberi ketenteraman jiwa. Jadi, tidak perlulah kita terlalu banyak menggunakan krim antikedut lagi.

Menyedari hakikat ini, kita mestilah menukar sikap panas baran kita dengan mempamerkan good temper kerana perasaan riang dengan sendirinya akan meringankan segala kesakitan, kemarahan dan seterusnya menjauhkan diri kita daripada sifat dan perasaan yang membawa kepada kemusnahan.

Jadi mulai hari ini, marilah kita berazam membuang sifat panas baran dan gantikan dengan sifat keriangan dan kesabaran. Sifat-sifat tersebut adalah umpama mentari yang menyinar dalam kehidupan kita. Kita akan kelihatan sentiasa awet muda, lebih sihat dan lebih berjaya dalam hidup.

Rasa keriangan, kepuasan, kesyukuran dan ketenangan jiwa dapat mengekalkan keceriaan wajah dan melenyapkan `ketuaan' kita. Rasa awet muda.

No comments:

MATLAMAT

MATLAMAT
MANA HALA TUJU