Thursday, August 9, 2007

KEUPAYAAN MENGHADAPI MASALAH

Dalam menjalani hidup ini, kita mesti menerima hakikat bahawa terlalu banyak masalah yang sentiasa berada di depan kita. Jadi, sebagai manusia yang normal kita hendaklah menghadapinya dengan tabah, berani dan penuh kerelaan.

Persoalannya, berapa ramaikah yang berkeupayaan berhadapan dengan pelbagai masalah? Apabila dikaji, sesetengah masalah itu terlalu remeh dan tidak penting langsung, berbanding ganjaran atau peluang yang bakal dinikmati sekiranya kita berjaya menyelesaikan masalah yang lebih besar dan lebih rumit.

Ramai yang mudah mengaku kalah, angkat tangan, angkat kaki, atau menyerah kalah sebelum mencuba.Mereka tidak mahu mencabar keupayaan serta enggan mencabar potensi dan pemikiran. Jadi, bagaimana kita hendak mengejar kejayaan sekiranya kita tidak sanggup dan tidak mahu mencabar kebolehan dan keupayaan pemikiran kita, kita cuma perlu `berfikir' lebih.

Orang yang gagal menyedari apa yang terjadi di sekelilingnya, tidak menyedari keperluan orang lain dan tidak menyedari akan penglibatan dirinya dalam kehidupan seharian dan masyarakat sekeliling.Orang yang berjaya sentiasa sensitif terhadap persekitarannya. Mereka tidak memerlukan dadah atau bahan perangsang luaran untuk menjadikan hidup mereka ceria dan bertenaga. Mereka menjalani hidup secara semula jadi.

Kita mesti sedar bahawa kita mempunyai segala keupayaan dan kelengkapan untuk bertindak dan mencabar potensi pemikiran kita.

Kita jadikan saat ini untuk menyedarkan hakikat kebolehan diri kita. Bukakan lensa terhadap pelbagai peluang kemungkinan dan alternatif yang berada di hadapan kita.Ubahlah sikap dan gaya hidup kita dan dengan sendirinya segala persekitaran kita akan turut berubah. Kita buangkan segala pengaruh negatif yang sukar untuk diubah. Kita akan sesuaikan dan selaraskan diri ke arah pencapaian kehidupan yang lebih baik dan sempurna.

LANGKAH-LANGKAH MENGHADAPI MASALAH

1. Kikiskan segala pemikiran yang tidak elok.

2. Kawal perasaan kita. Jangan biarkan perasaan mengawal pemikiran.

3. Kosongkan kotak pemikiran kita daripada perasaan-perasaan sedih atau bermuram durja dan apa jua perasaan negatif seperti kita mengosongkan poket.

4. Perbaharui pemikiran kita dengan pemikiran yang lebih rasional dan kreatif.

5. Berbuat baik kepada orang lain. Dengan menolong dan membuat jasa boleh mendatangkan ketenteraman, menaikkan rasa hormat diri dan bangga diri.

6. Seelok-eloknya cuba dengar masalah orang lain dan cuba memberi nasihat cara terbaik memecah kebuntuannya. Secara tidak langsung ini akan melatih diri kita, menjadi lebih matang untuk menghadapi pelbagai masalah hidup.

7. Bunuh perasaan negatif seperti takut dan rendah diri sekarang juga!

8. Ingatlah sebenarnya kita bukan berseorangan. Tuhan sentiasa bersama kita.

9. Anggaplah diri kita lebih besar dan lebih tinggi daripada masalah itu dan usahlah gentar untuk menghadapinya.

10. Susun segala kesulitan dan masalah di atas kertas satu persatu. Masalah akan nampak lebih nyata dan separuh daripada masalah tersebut sebenarnya telahpun diselesaikan, apabila kita menyusun satu persatu mengikut keutamaannya. Masalah lain akan dapat diselesaikan dengan lebih mudah dan cepat.

11. Programkan semula pemikiran dan amalkan prinsip pemikiran positif. Perkara yang mustahil akan menjadi lebih mudah.

12. Jangan sekali-kali bertindak secara emosional kepada kritikan sehingga menjejaskan penilaian sebenar. Analisa diri sendiri bagi memastikan sama ada ia betul atau tidak. Jika kritikan itu tepat, perbaiki diri sendiri. Jika tidak, usah hiraukan, cuma beri perhatian.

13. Ingatlah bahawa setiap masalah ada jawapan dan jalan penyelesaiannya. Selidiklah puncanya dan carilah jawabannya.

14. Semasa dalam kesusahan, ingatlah Tuhan sayangkan kita dan akan sentiasa bersama untuk membantu kita. Setelah Tuhan menjadikan kita, dia tidak akan sekali-kali membiarkan kita! Mohonlah petunjuk daripada NYA.

"Hadapi masalah dengan penuh kepintaran dan ketabahan! Ingatlah, Tuhan sentiasa bersama kita."

No comments:

MATLAMAT

MATLAMAT
MANA HALA TUJU