Friday, August 10, 2007

FORMULA PENYELESAIAN MASALAH

FORMULA PENYELESAIAN MASALAH

Terimalah masalah tersebut dengan penuh rela dan tabah seperti kata pepatah Inggeris, "If you can't fight them, accept them, join them". Jangan kita berdolak-dalik lagi. Jangan sekali-kali cuba lari daripada masalah ataupun memendamkannya. Kemudian cari jalan atau cara-cara penyelesaian yang paling berkesan, di samping berazam kita sememangnya boleh menyelesaikannya. Fikirkan `BOLEH'.

Pertama:

Tuliskan apa masalah kita sebenarnya. Jangan hanya fikir dalam kepala, sebaliknya jelaskan atau tuliskan.

A problem wellstated is a problem half-solved.

Kedua:

Tuliskan apakah punca sebenar berlakunya masalah tersebut. Dapatkan semua fakta yang jelas dan tepat bukannya berdasarkan anggapan atau fikiran fakta. Kebanyakan kebimbangan yang berlaku dalam dunia ini kerana orang cuba membuat keputusan sebelum mereka mempunyai pengetahuan dan fakta yang cukup untuk memutuskannya. Oleh itu, pastikan kita mendapat fakta, sebab dan punca masalah tersebut berlaku, sebelum kita cuba menyelesaikannya.

Ketiga:

Tuliskan setiap kemungkinan jalan penyelesaian yang berkesan. Misalnya (a) kalau kita buat begini, apakah kesannya? Dan kalau kita buat (b) apakah akibatnya kelak? Kita senaraikan sebanyak mungkin jalan penyelesaian dan akibatnya. Langkah seterusnya kita lakukan sumbangsaran (brainstorming) dengan sahabat karib kita dan meminta pendapat rakan-rakan yang kita rasa dapat membantu. Sekiranya masalah itu rumit dan memerlukan kepakaran, kita perlu meminta nasihat perunding atau kaunselor.

Keempat:

Kemudian kita buat keputusan jalan penyelesaian yang mana kita pilih. Setelah dianalisis kebaikan dan keburukannya secara teliti, ambillah secukup masa untuk berfikir. Kita masukkan semua kemungkinan jalan penyelesaiannya ke dalam komputer mental kita yakni pemikiran separuh sedar kita. Biarkan komputer mental kita bertugas selama beberapa hari.

Kelima:

Setelah mengambil keputusan untuk memilih salah satu jalan penyelesaian, kita akan terus kekal dengannya dan mula bertindak. Kita jangan fikir yang lain-lain lagi. Kita terus mencari jalan menyelesaikannya sehingga berjaya, insya-Allah.

Begitulah lima langkah bagaimana hendak mengendalikan masalah, tidak kiralah masalah di tempat kerja, peribadi, rumah tanggadan sebagainya. Kita mestilah menganggap ia adalah perkara biasa dan kita berupaya untuk menyelesaikannya.

Kita akan mencari punca dan kita akan selesaikan kerana segala kelengkapan minda, pengetahuan dan jawapan berada di tangan kita sendiri, cuma kita perlu berikhtiar secara kreatif.

Kita lakukan segala yang terbaik dan kemudian yang lainnya kita serahkan kepada Tuhan. Setelah berusaha sedaya upaya kita bersembahyang dan berdoa:

Ya Tuhanku, hamba Mu telahpun berusaha sedaya upaya. Rasanya tiada apa lagi yang dapat hamba Mu lakukan, berilah petunjuk Mu, Ya Tuhan. Kasihanilah hamba Mu, Ya Tuhan.

Pokoknya kita mestilah berusaha sebaik mungkin terlebih dahulu dan kemudian barulah serahkan kepada kekuasaan Tuhan dan bukan sebaliknya, kerana Tuhan hanya akan menolong hamba Nya yang berusaha menolong dirinya sendiri.

"Pastikan kita mendapat fakta, sebab dan punca masalah tersebut berlaku, sebelum kita cuba menyelesaikannya".

No comments:

MATLAMAT

MATLAMAT
MANA HALA TUJU