Thursday, August 9, 2007

CARA MELEGAKAN PERASAAN MARAH DAN TERLUKA

Tenangkan fikiran. Buat senaman dengan menarik nafas panjang dan lepaskan perlahan-lahan selama beberapa minit. Bayangkan perkara-perkara yang menyukakan hati, cuba kenal pasti puncanya, kemudian yakinkan pada diri kita bahawa kemarahan dan kelukaan hati kita itu tidak lebih daripada `perasaan semata-mata'.

Sebenarnya tidak seorang pun yang dapat membuat kita berasa marah, kecewa atau berkecil hati sekiranya diri dan pemikiran kita tidak membenarkan unsur-unsur itu mempengaruhi pemikiran dan kemudiannya merangsang tindak-tanduk kita.

Tanya diri sendiri dan teman-teman, apakah anggapan dan harapan kita terhadap orang lain terlalu tinggi dan tidak munasabah? Adakah kita mengharapkan supaya orang lain mengorbankan segala-galanya semata-mata untuk memenuhi kehendak dan menjaga hati kita?

Kita mesti sedar orang lain juga berada dalam kesulitan dan masalah. Mereka juga sedang berjuang mengatasi masalah bagi memperbaiki kehidupannya sendiri dari masa ke semasa.

Mereka juga mempunyai masalah perasaan dan kehendak seperti diri kita juga.
Beritahu pada diri kita sendiri bahawa perasaan terluka dan berasa diri tidak dihargai, adalah tidak produktif serta boleh membinasakan kita. Oleh yang demikian, kita mesti berusaha menghapuskannya sama sekali.

Kita mesti memahami falsafah, alam sekeliling dan manusia tidak boleh sentiasa berlaku adil terhadap kita, sebagaimana yang kita kehendaki kerana itulah hakikat kehidupan yang sebenarnya.Jika kehidupan kita senantiasa diselimuti kekesalan dan rasa bersalah oleh kesilapan masa lalu, seluruh kehidupan kita akan menjadi murung, muram dan tentunya akan menuju ke arah kegagalan dan kehancuran kerana perasaan sedemikian amat membinasakan.

Beritahu kepada diri sendiri betapa hidup ini akan musnah sekiranya kita masih berada pada zaman silam, iaitu zaman ketika berlakunya peristiwa tersebut, mungkin lima atau sepuluh tahun lalu.Ketelanjuran kata-kata yang tajam terhadap sahabat, saudara ataupun ibubapa yang telah kita lemparkan lima tahun lalu, tetapi hingga kini masih membelenggu fikiran, menyebabkan kebinasaan terhadap emosi kita ketika ini.

Kita juga mesti memaafkan diri kita atas keterlanjuran, kelalaian, kesalahan dan kegagalan kita yang lalu, juga terhadap keputusan yang telah kita buat tanpa berfikir panjang.

Kita mesti melenyapkan segala perasaan malu atas kesilapan kita yang telah lama berlaku dan telahpun berlalu kerana sebenarnya hanya kiri kita seorang saja yang masih mengingatinya, sedangkan orang lain telah lama melupakannya. Jadi kita mesti melenyapkannya dari pemikiran kita, kerana ianya amat menyeksakan.

Ubat paling mujarab bagi menghilangkan emosi terluka yang begitu menyeksakan diri kita adalah kemaafan. Tanpa kemaafan, kita tidak mungkin akan terlepas daripada bebanan penyeksaan emosi. Kita tidak akan pernah menemui ketenangan dan ketenteraman jiwa.

"Jika kamu lahirkan kebaikan atau kamu sembunyikan atau kamu memaafkan kesalahan orang lain, sesunggunya Allah itu pemaaf dan Maha Berkuasa." An Nisa: 149

Orang yang tidak dapat memaafkan dirinya dan memaafkan segala kesalahan keterlanjuran dan ketidaksempurnaannya, maka berkemungkinan dia akan menderita penyakit insomnia, migrain, ulser atau kanser dan paling ketara adalah sakit jiwa.

Kita mesti sedar bahawa kita adalah makhluk Tuhan. Sebagai makhluk biasa, kita bukanlah manusia yang cukup sempurna dalam segala-galanya.

Sebaliknya, bayangkan kejayaan yang telah dicapai selama ini. Bersyukurlah dan ucapkan tahniah pada diri sendiri.

Setelah kita berupaya memaafkan diri kita, mungkin kita telah bersedia untuk memaafkan orang lain juga. Kita lakukan segala-galanya sebaik mungkin dan yang lainya kita serahkan pada kekuasaan Tuhan.

No comments:

MATLAMAT

MATLAMAT
MANA HALA TUJU